Buku Pelawat...Sila Daftar Di sini.

Tuesday, June 30, 2009

Utusan Melayu Mingguan bantu pelajar kuasai jawi

. Tuesday, June 30, 2009

IPOH 29 Jun - Kira-kira 95 peratus murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia di sini mampu menguasai bacaan dan tulisan jawi dengan baik sejak melanggan akhbar Utusan Melayu Mingguan lima tahun lalu.

Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah berkenaan, Mohd. Yazid Buhimin berkata, walaupun cuma melanggan sebanyak 100 naskhah akhbar tunggal bertulisan jawi itu pada setiap minggu, namun ia sudah cukup memberi kesan positif ke atas pelajar.
''Alhamdulillah akhbar Utusan Melayu Mingguan yang satu-satunya bertulisan jawi di negara ini telah memudahkan lagi proses pembelajaran jawi kalangan pelajar sekolah ini.

''Saya dapati murid sekolah cukup berminat membaca Utusan Melayu Mingguan terutama ruangan karikatur yang mencuit hati. Mereka memang suka ruangan itu dan saya cukup gembira kerana ia dapat menarik minat generasi muda membaca jawi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di SK Rapat Setia di sini hari ini.

SK Rapat Setia mempunyai sekitar 150 orang murid tahun enam setiap tahun.
Mohd. Yazid berkata, selain ruangan karikatur, murid-murid juga cukup berminat membaca pada halaman yang mempunyai gambar-gambar menarik dan tidak membosankan.
Jelas beliau, pada masa sama, kebanyakan murid menunjukkan minat mendalam pada ruangan inovasi yang selalunya menyiarkan bahan bacaan berkaitan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini.

Katanya, ruangan itu cukup signifikan kerana membolehkan murid-murid atau generasi muda mengetahui ejaan tulisan jawi yang betul bagi peralatan komunikasi atau istilah-istilah baru dalam dunia ICT.
''Tidak ketinggalan juga ruangan tulisan khat, ia turut membantu menggalakkan murid-murid belajar menulis tulisan jawi yang cantik dan berseni.
''Pada saya akhbar Utusan Melayu Mingguan membawa banyak faedah dan manfaat kepada anak-anak murid di sekolah ini dan saya harap peranannya dapat diperluaskan agar tulisan jawi tidak 'mati' ditelan zaman," katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak agar terus menyokong akhbar Utusan Melayu Mingguan dan mempertahankannya sehingga ke akhir zaman kerana ia merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai.
Sumber : Utusan Online

0 comments:

Post a Comment